Siasat Punca Kemalangan Bas Ekspress Transnasional
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menjalankan siasatan terperinci ke atas bas ekspres Transnasional yang terlibat dalam kemalangan meragut tiga nyawa di Kilometer 11 Jalan Bentong-Raub pada malam kelmarin.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, siasatan tersebut meliputi pelbagai aspek termasuk pengurusan keselamatan, pemandu dan penyelenggaraan bas ekspres terlibat.
"Pihak kami tidak akan berkompromi dalam kes ini dan akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengenal pasti punca kemalangan itu.
"Tindakan tegas akan dikenakan ke atas pihak pengendali jika mereka didapati melanggar syarat-syarat yang termaktub dalam pekeliling serta Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010," katanya dalam kenyataan akhbar semalam.
Bas ekspres dua tingkat itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan membawa 68 penumpang termasuk pemandu terlibat dalam kemalangan selepas melanggar tiang elektrik di sebelah kanan jalan sebelum terbalik.