Permit Bas diGantung SPAD



Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung permit bas persiaran milik Syarikat Merry Holidays Sdn Bhd yang terbabit dalam kemalangan di KM70, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang pada 20 April lalu.

SPAD dalam satu kenyataan memberitahu, penggantungan itu berkuat kuasa Ahad ini membabitkan tujuh permit bas persiaran terbabit. “Keputusan penggantungan diambil kerana pengendalinya gagal mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah Tata Amalan Keselamatan Industri Pengangkutan Awam Darat oleh SPAD (SPAD-ICOP Keselamatan).



“Ia antaranya tidak memasang GPS pada kenderaan, tidak melantik pegawai keselamatan, gagal memantau kelajuan kenderaan serta gagal melakukan pemeriksaan ke atas pemandu sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

SPAD turut memaklumkan sejak Ogos tahun lalu, pihaknya sudah menggantung 542 permit kenderaan syarikat bas henti-henti, bas ekspres, bas persiaran, bas sekolah dan kenderaan perdagangan yang terbabit kemalangan, selain melanggar syarat pelesenan serta SPAD-ICOP Keselamatan.