7 permit Bas Merry Holidays di Gantung
KUALA LUMPUR 25 April - Syarikat bas persiaran, Merry Holidays Sdn. Bhd. (Merry Holidays) menjadi penyedia perkhidmatan bas komersial terbaru yang digantung permit perkhidmatannya oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
SPAD dalam kenyataannya memberitahu, penggantungan itu yang berkuat kuasa 27 April ini susulan kemalangan membabitkan bas syarikat itu pada 20 April lalu yang mengakibatkan seorang penumpang terkorban.
Penggantungan tersebut membabitkan tujuh permit bas persiaran yang beroperasi di laluan Semenanjung Malaysia mengikut peraturan di bawah Pelaksanaan Kod Amalan Industri SPAD-Keselamatan (ICOP).
"Keputusan penggantungan ini diambil kerana pengendali gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah SPAD-ICOP Keselamatan antaranya tidak memasang sistem pengesan global (GPS) serta tidak melantik pegawai keselamatan.
"Syarikat berkenaan turut gagal memantau kelajuan kenderaan, tidak melantik pegawai keselamatan, gagal memantau kelajuan kenderaan yang terlibat kemalangan serta tidak melakukan pemeriksaan ke atas pemandu sebelum memulakan perjalanan," kata kenyataan itu di sini hari ini.
SPAD sebelum ini telah menggantung 33 permit syarikat bas ekspres Transnasional dan Etika kerana terlibat dalam kemalangan menyebabkan ada penumpang yang parah dan terkorban.
Menurut SPAD, sebanyak 542 permit kenderaan digantung sejak Ogos 2013 membabitkan bas henti-henti, bas ekspres, bas persiaran, bas sekolah dan kenderaan perdagangan yang terlibat dengan kemalangan dan melanggar syarat pelesenan ditetapkan.
"Sehubungan itu, SPAD ingin memohon kepada semua pengendali agar sentiasa memberi perhatian serius kepada aspek keselamatan penumpang dan pengurusan pemandu serta penyelenggaraan kenderaan masing-masing," tambah kenyataan itu.
Nyawa penumpang ditangan pengendali bas ekspress, bukan pemandu sahaja!
Sumber: Utusan