Terminal Bersepadu Selatan (TBS) adalah terminal pengangkutan utama di Kuala Lumpur untuk semua syarikat bas ke selatan Malaysia. Terminal pengangkutan tersebut terletak di Bandar Tasik Selatan.
Ia telah dibuka dan beroperasi pada 1 Januari 2011. Terminal ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 April, 2013.
Pengendali terminal pengangkutan ini adalah Maju Pengurusan Terminal Services Sdn Bhd (Maju TMAS) iaitu anak syarikat Maju Holdings Berhad.
Jika ini merupakan kali pertama anda hendak ke TBS, pastikan anda membawa rakan yang pernah pergi ke sana. Lebih baik jika anda ada gajet GPS supaya tidak sesat. Jalan ke sana serabut dan mudah sesat bagi mereka yang tidak biasa. Jika sesat, anda pasti terlewat dan mungkin terlepas bas.
Sila terus tuju masuk ke TBS dengan naik ramp atau jambatan ke atas.
Jika anda naik ke atas, anda akan lalu pintu lobi utama dimana anda boleh menurunkan penumpang. Anda boleh juga naik ke atas untuk ke tingkat mengambil penumpang. Tingkat ini membezakan balai ketibaan dan balai berlepas seperti di lapangan terbang. Gambar diatas adalah pintu utama ke TBS.
Untuk meletak kenderaan, sila terus naik ke tingkat 4, 5 atau 6. Bayaran caj letak kereta adalah RM3 sekali masuk untuk sehari. Parking motosikal adalah percuma.
Pandangan TBS daripada beberapa sudut di luar bangunan. Kesesakan bas dapat dielakkan kerana ruang bas menunggu adalah di tempat lain dan ada ruangan khas iaitu terminal untuk mengambil dan menurunkan penumpang.
Keistimewaan TBS juga adalah ia merupakan hab untuk beberapa pengangkutan lain di Kuala Lumpur berhubung. Terdapat:
- Komuter daripada Kuala Lumpur ke Seremban
- ERL ke KLIA dan KLIA2
- LRT Star untuk ke Seri Petaling dan Ampang
- Bas bandar
- Teksi bandar
Ruang dalam TBS yang moden, luas, cerah dan selesa menjadikannya pilihan pengguna. Ia juga selamat kerana ada khidmat polis bantuan yang sentiasa membuat rondaan kawasan. Dua tingkat yang penting adalah balai ketibaan dan balai berlepas.
Ada ruangan perniagaan khas di tingkat atas. Pengguna boleh menjamu selera direstoran makanan segera ataupun restoran masakan tempatan. Ada juga medan selera jika anda ingin membeli dan makan dengan cepat sebelum naik bas.
Kehabisan wang? Ada mesin ATM di lokasi strategik. Tidak mahu ketinggalan solat? Ada surau disediakan untuk muslimin dan muslimat. Terdapat loker simpan barang disetiap tingkat tetapi tempat khas menyimpan bagasi besar terletak di tingkat 3.
Jika anda membawa bayi, terdapat bilik khas untuk menukar lampin dan menyusu bayi di setiap tingkat. TBS ini juga direka khas untuk keselesaan golongan kurang upaya.
Jika anda ingin beli tiket, boleh terus ke mana-mana kaunter tiket. Kaunter tiket ini dikendalikan oleh pengurusan TBS dan bukannya mengikut syarikat bas.
Perbezaan yang nyata adalah tidak ada lagi ulat tiket atau petugas kaunter yang menjerit mencari pelanggan. Sistem ini lebih teratur dan profesional.
Apabila tiba giliran anda, sila berikan mykad kepada pegawai bertugas. Anda boleh buat pilihan destinasi, waktu dan syarikat bas di paparan skrin sesentuh. Jika ini adalah kali pertama anda menggunakan sistem ini, anda boleh minta bantuan pegawai bertugas. Jangan malu untuk bertanya.
Bagi mereka yang anti teknologi atau komputer fobia, jangan takut. Pegawai bertugas juga boleh bantu membuat pilihan untuk anda.
Paparan skrin menunjukkan anda boleh memilih kategori bahasa melayu atau bahasa inggeris. Waktu perjalanan bas dan pilihan syarikat bas.
Selepas itu, anda boleh pilih tempat duduk mana yang sesuai dan selesa untuk anda mengikut syarikat dan jenis bas yang sedia ada. Anda boleh lihat kerusi mana yang sudah terjual dan jika ada bayi atau kanak-kanak dalam bas tersebut. Kekadang penumpang bas tidak mahu naik bas ekspress yang ada kanak-kanak atau bayi. Takut bising dan menggangu nak tidur.
Jika anda tidak bersetuju, anda masih boleh membuat pilihan bas syarikat lain. Sila buat pilihan dengan betul dan jangan tergesa-gesa kerana apabila bayaran sudah dibuat dan tiket bas dicetak, anda tidak boleh tukar lagi.
Apabila anda sudah selesai membuat pilihan, pegawai akan bertanya jika anda setuju dengan jumlah bayaran tiket bas. Keterangan bayaran ada terpapar di skrin depan anda. Jika bayaran dibuat, tiket bas akan dicetak.
Tiket bas anda tidak boleh dijual semula kepada orang lain. Jangan cakap jual, nak beri percuma pun tidak boleh. Kenapa? Kerana nama seperti dalam mykad anda akan dicetak sebagai penumpang di atas tiket.
Proses ini dapat menghapuskan terus kegiatan ulat tiket dan penipuan penjualan tiket bas.
Untuk turun ke lobi perlepasan, polis bantuan akan menyemak tiket anda dan juga mykad. Jika anda bukan penumpang, anda tidak boleh masuk ke lobi perlepasan.
Jika ada rombongan cik kiah ikut sama nak menghantar anda. Bolehlah tunggu dahulu di atas sementara belum waktu berlepas.
Jika sudah tiba waktu, sila masuk ke lobi perlepasan. Jangan tunggu sampai saat akhir, nanti takut terlepas bas pula. Kesian juga kepada penumpang lain jika bas lewat kerana menunggu anda.
Jangan risau, di dalam lobi perlepasan ada banyak tempat duduk. Tidak perlu berdiri lama-lama, buat sakit pinggang sahaja.
Terdapat juga paparan skrin mengenai status bas ekspress anda.
Apabila bas ekspress tiba, petugas akan membuka pintu kepada terminal anda. Seperti biasa, anda boleh terus naik setelah petugas memeriksa tiket anda. Masukkan bagasi besar ke tempat simpanan beg di bawah bas dahulu.
Pegawai SPAD akan memastikan pemandu dan kelendan mematuhi kesemua prasyarat perlepasan. Jika semua adalah ok, baru bas ekspress boleh berlepas.
Jangan lupa baca bismillah dan doa perjalanan.
Selamat jalan, moga anda sampai dengan selamat.