Pemandu Bas Transnasional Mengaku Tidak Bersalah Ambil Morfin


Pemandu bas Malaysia kaki dadah? Masukkan dadah jenis morfin dalam badan. Ini bukan dadah ganja atau air ketum tetapi kes cucuk morfin dengan jarum. 

BENTONG, 16 April (Bernama) -- Pemandu bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 11 Jalan Bentong-Raub Sabtu lepas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Rabu terhadap pertuduhan memasukkan dadah jenis morfin ke dalam badan.

Wan Khairul Efendi Wan Mustapa, 35, yang berasal dari Bachok, Kelantan didakwa memasukkan dadah ke dalam badannya, berdasarkan ujian air kencing yang dilakukan pihak polis sejurus ditahan selepas kemalangan itu pada 12 April lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Isa Mohd Nor memerintahkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mei untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Inspektor Anuar Afendi manakala tertuduh diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff.

Wan Khairul Efendi bagaimanapun ditahan semula oleh pihak polis hari ini mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan untuk siasatan lanjut mengenai kemalangan itu.

Dalam nahas pukul 12.30 tengah malam itu, tiga orang termasuk sepasang suami isteri maut manakala 10 lagi cedera selepas sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas dan terbalik.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah Suhaisam Che Abdulla, 33, dan pasangan suami isteri, Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, 31 (Warga Somalia), dan isterinya Zarifah Alias, 26.