Bas Ekspress Darul Naim Kemalangan di Bentong



Empat cedera termasuk pemandu sebuah bas ekspres selepas kenderaan itu terbabit dalam kemalangan dengan lori di Kilometer 14 Jalan Bentong-Raub berhampiran simpang ke FELDA Lurah Bilut di sini, jam 5.20 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, bas yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur itu membawa 30 penumpang dipercayai bergesel dengan lori tiga tan yang membawa muatan sayuran.

Beliau berkata, semua mangsa yang cedera ringan dihantar ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan "Pemandu bas Marudin Omar, 55, dari Rendang, Kota Bharu cedera di pergelangan tangan kanan, pipi kanan dan lengan akibat terkena serpihan cermin," katanya.

Secara kebetulan satu kereta yang menunda bas ekspress tersebut sedang mengambil video dan sempat merakam kejadian. Pasangan kepada pemandu merakam gelagat pemandu bas yang membawa laju, tetapi ternyata kesalahan adalah dipihak lori yang makan jalan dan masuk lorong bertentangan. 




Masyarakat sekali lagi dikejutkan dengan berita kemalangan melibatkan bas ekspres di Kilometer 14, Jalan Bentong - Raub yang berlaku semalam yang hanya tiga kilometer dari lokasi kemalangan bas melibatkan tiga kematian, 12 April lalu.

Seramai 30 penumpang dan pemandu bas nyaris maut apabila bas yang dinaiki bergesel dengan sebuah lori tiga tan membawa muatan sayur-sayuran.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5.20 petang di mana bas terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan sebaliknya, empat mangsa termasuk pemandu, dua penumpang bas dan kelindan lori mengalami kecederaan.

Mangsa yang cedera dalam kemalangan itu ialah Marudi Omar, 55 (pemandu bas), Uswatul Hasanah Ahmad,23, Nur Adilla Abdullah,24, dan Ridhwan Muhammad,27 (kelindan lori).

Marudi yang berasal dari Kota Bharu dikatakan patah di pergelangan tangan kanan, luka di pipi kanan dan luka-luka kecil di lengan akibat terkena serpihan cermin.

Uswatul yang berasal dari Klang cedera di selaput mata kanan manakala Nur Adliha yang berasal dari Kota Bharu cedera di dahi kanan. Mohd Ridhwan yang berasal dari Masai, Johor pula mengalami kecederaan di dahi kanan.

Difahamkan lori terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Selayang untuk menghantar sayur-sayuran ke pasar Raub.

Mohamad Mansor berkata, kesemua mangsa yang cedera termasuk pemandu bas yang patah pergelangan tangan kanan telah di bawa ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan.

“Kes disiasat mengikut seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 9487 dan siasatan masih giat dijalankan.

“Kita masih menyiasat punca kejadian dan berharap mana-mana saksi supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber: Harian Metro, Berita Harian

7 Maut Terminal Bas Seoul Terbakar



SEOUL 26 Mei - Sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban manakala lebih 41 lagi cedera, selepas sebuah terminal bas di wilayah Gyeonggi, utara Seoul terbakar, hari ini.

Menurut laman web Yonhap News, kebakaran berlaku kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan (8 pagi waktu Malaysia) di kawasan pembinaan yang terletak di bahagian bawah Terminal Bas Goyang.

Jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan berkata, asap tebal menjadi punca utama mangsa terkorban dan cedera.

Anggota bomba percaya kerja-kerja kimpalan di restoran yang terletak di bawah terminal berkenaan menjadi punca kebakaran berlaku.

"Mereka yang cedera menerima rawatan di hospital, dengan lapan darinya berada dalam keadaan kritikal," jelasnya.

Menurut bomba, mayat mang­sa yang terkorban dijumpai di kawasan medan selera yang terletak berhampiran tapak pembinaan dan identiti mangsa setakat ini masih tidak diketahui.

Anggota bomba dan penyelamat hanya memerlukan masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran.

Agensi berita CBS News melaporkan, empat buah kereta bomba dan lima buah ambulans dikejarkan ke tempat kejadian bagi memastikan situasi terkawal.

Sementara itu, ibu pejabat Bencana dan Tindakan Keselamatan Korea Selatan turut bertindak menghantar pasukan kecemasan ke tempat kejadian, ekoran wujud kebimbangan jumlah mereka yang terkorban akan meningkat. - AFP/AGENSI

Bas Terbakar di Lebuhraya Utara-Selatan Arah Utara


Ipoh: Seramai 19 penumpang sebuah bas persiaran panik apabila bas berkenaan tiba-tiba terbakar di kilometer 263 Lebuh raya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Terowong Menora, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.43 petang itu, pemandu bas yang dimaklumkan mengenai kebakaran di belakang bas oleh pengguna jalan raya, segera memberhentikan kenderaan itu.

Bas berkenaan difahamkan dalam perjalanan dari Genting Highland ke Pulau Pinang dan penumpang serta pemandu, segera keluar dari bas menyelamatkan diri.

Kejadian itu menyebabkan lalu lintas sesak teruk sepanjang lebih lima kilometer.

Sumber: Harian Metro

Bas Jatuh Gaung Di Wang Kelian


KANGAR, 25 Mei  - Sebuah bas membawa 45 penumpang termasuk pemandu terbabas ke dalam gaung di laluan berbukit di Wang Kelian, pada Ahad.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Perlis Mohd Fadzil Haroon berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pada 9.40 pagi itu.

Penumpang bas pelancong dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu terdiri daripada 33 wanita, enam lelaki dan lima kanak-kanak, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.


Rombongan terdiri daripada peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kawasan Kepala Batas, Pulau Pinang yang bertolak pada 7 pagi tadi untuk membeli-belah di pekan sehari Wang Kelian, di sempadan Malaysia-Thailand.

Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Sementara itu, seorang mangsa Md Sharif Hashim, 64, dari Kampung Pokok Tampang, Tasik Gelugor yang duduk di bahagian depan mengucapkan syukur kerana hanya mendapat kecederaan ringan.



"Semasa bas mendaki bukit, saya melihat pemandunya tidak dapat memusing stering lalu bas tersebut terus menjunam ke dalam gaung. Kami terpaksa memecahkan cermin tingkap untuk keluar.

"Sebaik dapat keluar saya lihat beberapa anggota rombongan pengsan dan ramai yang pening. Saya juga tidak tahu bila bantuan tiba. Sedar-sedar bantuan perubatan (ambulans) tiba," katanya ketika ditemui di HTF di sini.

Seorang lagi mangsa, Tariah Awang Kecil, 42, berkata: "kami mengucap banyak-banyak semasa bas menjunam,".


Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat, khususnya petugas HTF dan kerajaan Perlis.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Jafperi Othman dan pegawai Baitulmal Perlis turut berada di HTF untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Sebuah bas turut disediakan untuk menghantar semua mangsa pulang ke Kepala Batas selain menyediakan makanan untuk mangsa, kata Jafperi.

Pelajar Malaysia Terlibat Kemalangan Bas di Perth



PERTH: Sebuah bas yang membawa 23 pelajar Malaysia dan Indonesia dilaporkan terbabas ke dalam parit di kawasan pergunungan di Perth, Australia, malam tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku  jam 7.40 malam waktu tempatan ketika bas itu dalam perjalanan ke Tasik Leschenaultia untuk perkemahan.

Pemandu bas berusia 51 tahun dilaporkan hilang kawalan dan terbabas ke parit di Gidgegannup, 40 kilometer ke timur Perth.

Sejumlah 13 orang daripada penumpang adalah kanak-kanak berusia antara 10 dan 12 tahun.

Ekoran kejadian itu, kesemua mereka dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Tiga mengalami kecederaan termasuk kemungkinan patah tulang dan semua dibawa ke hospital untuk pemerhatian," menurut satu kenyataan polis pagi ini.

Polis berkata, pihak mereka sedang menyiasat punca kemalangan itu termasuk sama ada kabus adalah satu faktur penyebab ianya berlaku.

Bas Ekspress Langgar Pekerja Penyelengaraan Jalan



Gua Musang: Seorang maut, dua parah dan tiga lagi cedera selepas dirempuh sebuah bas ekspres yang terbabas di Kilometer 72 Jalan Gua Musang - Kuala Krai, dekat sini, kira-kira jam 12.15 tengah hari tadi.

Mangsa yang maut adalah kakitangan Road Care Sdn Bhd, Mohd Zakarman Bedol, 41, dari Kampung Bukit Ipoh, Jeli, manakala mereka yang parah dan cedera adalah kakitangan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM).


Difahamkan, ketika kejadian semua mangsa sedang menjalankan kerja mengorek tar di tepi jalan bagi tujuan pemeriksaan kualiti.

Saksi kejadian memberitahu melihat lima bas ekspres melalui laluan berkenaan untuk menghala ke Kuala Lumpur, sebelum bas kedua terbabas dan merempuh semua mangsa, serta sebuah van dan Toyota Hilux milik syarikat yang diletakkan di tepi jalan.

Semua mangsa termasuk maut dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan, manakala pemandu bas dan 10 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sumber: Harian Metro

31 Kanak-kanak Rentung Bas Terbakar



BOGOTA - COLOMBIA. Seramai 31 kanak-kanak rentung selepas bas dinaiki terbakar berhampiran bandar Fundacion di utara Colombia, kelmarin.

Jurucakap penyelamat Colombia, Cesar Uruna berkata, sebanyak 25 yang lain termasuk seorang dewasa parah.

"Kebanyakan mangsa dalam keadaan kritikal," katanya menurut laporan AFP.

Kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu bas dikatakan gagal mengendalikan bekas mengandungi petrol yang dibawa di dalam bas sehingga mencetuskan kebakaran.

Difahamkan kanak-kanak terlibat dalam kemalangan terbabit berumur antara setahun dan 8 tahun.

SPAD Tiada Kuasa Seperti PDRM & JPJ



Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pemandu pengangkutan awam yang melakukan kesalahan jalan raya.



Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, SPAD hanya bertanggungjawab merancang dan membuat polisi serta mengawal selia pengangkutan awam darat, manakala penguatkuasaan kesalahan jalan raya di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis trafik.




Apa-apa isu yang berkaitan dengan kesalahan jalan raya adalah di bawah bidang kuasa JPJ dan polis.

"SPAD tidak mengeluarkan lesen (memandu), namun kami boleh menggantung atau membatalkan lesen pemandu, menyita kenderaan atau mengenakan penalti kepada pengusaha syarikat bas ekspres," katanya dalam sidang akhbar mengenai pertukaran teksi bandar kepada Teksi 1 Malaysia (TEKS1M) di sini hari ini.

Memang operasi SPAD mesti dijalankan bersama-sama dengan PDRM dan JPJ. Kita berharap dimasa akan datang SPAD boleh bergerak sendiri tanpa bantuan agensi lain.

Sumber: Utusan

Bas Percuma Dengan Wifi Percuma di Kuala Lumpur


Pertama kali ke Kuala Lumpur?

Sudah bertahun datang bekerja di Kuala Lumpur tetapi tidak pernah bersiar-siar?

Malas ambil LRT atau monorail? Tiada bajet?

Nak pusing-pusing satu Kuala Lumpur melawat semua tempat perlancongan dengan percuma?

Kalau anda hendak tahu ada satu perkhidmatan bas persiaran percuma di Kuala Lumpur. Nama servis bas persiaran ini adalah GOKL. Tidak perlu beli tiket bas pun. Naik sahaja.

Baru-baru ini SPAD telah mengeluarkan kenyataan akan memberi perkhidmatan wifi berinternet  percuma untuk kesemua bas GOKL ini. Free internet tu.

Betul ke bas ni percuma?


Betul... percuma. Tak nampak lagi ke?  Jom kita zoom!


Ya! Perkhidmatan bas ini percuma.Untuk semua orang. Bukan pelancong sahaja.

Jadual waktu dia juga amat tepat. Cuma perhentian bas ini adalah untuk kawasan-kawasan perlancongan sahaja.

Nak tahu laluan bas GOKL percuma ini?
  • Hijau - KLCC  ke Bukit Bintang
  • Unggu - Pasar Seni ke Bukit Bintang
  • Biru - Medan MARA ke Bukit Bintang
  • Merah - KL Sentral ke Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR)
Sila klik gambar peta laluan dibawah untuk mendapatkan gambar yang lebih besar bagi mengetahui kesemua tempat bas berhenti.


Masa operasi bas GOKL percuma:

  • Isnin hingga Khamis 6am - 11pm
  • Jumaat hingga Sabtu 6am - 11pm
  • Ahad 7am - 11pm

Bas GOKL ini juga mesra alam kerana menggunakan NGV.

Oleh itu jika anda ingin bersiar-siar dengan keluarga, boleh cuba perkhidmatan GOKL ni. Ia untuk semua orang. Bukan pelancong luar negara sahaja.

Tetapi bersiap sedia untuk berbahasa Inggeris kerana pasti pelancong ingin bermesra atau bertanya.

Jangan buat malu dengan orang Malaysia.

Panduan Beli Tiket Bas Ekspress di Terminal Bersepadu Selatan (TBS)

Terminal Bersepadu Selatan (TBS) adalah terminal pengangkutan utama di Kuala Lumpur untuk  semua syarikat bas ke selatan Malaysia. Terminal pengangkutan tersebut terletak di Bandar Tasik Selatan

Ia telah dibuka dan beroperasi pada 1 Januari 2011. Terminal ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 April, 2013.  

Pengendali terminal pengangkutan ini adalah Maju Pengurusan Terminal Services Sdn Bhd (Maju TMAS) iaitu anak syarikat Maju Holdings Berhad.

Jika ini merupakan kali pertama anda hendak ke TBS, pastikan anda membawa rakan yang pernah  pergi ke sana. Lebih baik jika anda ada gajet GPS supaya tidak sesat. Jalan ke sana serabut dan mudah sesat bagi mereka yang tidak biasa. Jika sesat, anda pasti terlewat dan mungkin terlepas bas.

Sila terus tuju masuk ke TBS dengan naik ramp atau jambatan ke atas.


Jika anda naik ke atas, anda akan lalu pintu lobi utama dimana anda boleh menurunkan penumpang. Anda boleh juga naik ke atas untuk ke tingkat mengambil penumpang. Tingkat ini membezakan balai ketibaan dan balai berlepas seperti di lapangan terbang. Gambar diatas adalah pintu utama ke TBS.

Untuk meletak kenderaan, sila terus naik ke tingkat 4,  5 atau 6. Bayaran caj letak kereta adalah RM3 sekali masuk untuk sehari. Parking motosikal adalah percuma.




Pandangan TBS daripada beberapa sudut  di luar bangunan. Kesesakan bas dapat dielakkan kerana ruang bas menunggu adalah di tempat lain dan ada ruangan khas iaitu terminal untuk mengambil dan  menurunkan penumpang.

Keistimewaan TBS juga adalah ia merupakan hab untuk beberapa pengangkutan lain di Kuala Lumpur berhubung. Terdapat:
  • Komuter daripada Kuala Lumpur ke Seremban
  • ERL ke KLIA dan KLIA2
  • LRT Star untuk ke Seri Petaling dan Ampang
  • Bas bandar
  • Teksi bandar


Ruang dalam TBS yang moden, luas, cerah dan selesa menjadikannya pilihan pengguna. Ia juga selamat kerana ada khidmat polis bantuan yang sentiasa membuat rondaan kawasan. Dua tingkat yang penting  adalah balai ketibaan dan balai berlepas.

Ada ruangan perniagaan khas di  tingkat atas. Pengguna boleh menjamu selera direstoran makanan segera ataupun restoran masakan tempatan. Ada juga medan selera jika anda ingin membeli dan makan dengan cepat sebelum naik bas.

Kehabisan wang? Ada mesin ATM di lokasi strategik. Tidak mahu ketinggalan solat? Ada surau disediakan untuk muslimin dan muslimat. Terdapat loker simpan barang disetiap tingkat tetapi tempat khas menyimpan bagasi besar terletak di tingkat 3.

Jika anda membawa bayi, terdapat bilik khas untuk menukar lampin dan menyusu bayi di setiap tingkat. TBS ini juga direka khas untuk keselesaan golongan kurang upaya.


Jika anda ingin beli tiket, boleh terus ke mana-mana kaunter tiket. Kaunter tiket ini dikendalikan oleh pengurusan TBS dan bukannya mengikut syarikat bas.

Perbezaan yang nyata adalah tidak ada lagi ulat tiket atau petugas kaunter yang menjerit mencari pelanggan. Sistem ini lebih teratur dan profesional.


Apabila tiba giliran anda, sila berikan mykad kepada pegawai bertugas. Anda boleh buat pilihan destinasi, waktu dan syarikat bas di paparan skrin sesentuh. Jika ini adalah kali pertama anda menggunakan sistem ini, anda boleh minta bantuan pegawai bertugas. Jangan malu untuk bertanya.

Bagi mereka yang anti teknologi atau komputer fobia, jangan takut. Pegawai bertugas juga boleh bantu membuat pilihan untuk anda.


Paparan skrin menunjukkan anda boleh memilih kategori bahasa melayu atau bahasa inggeris. Waktu perjalanan bas dan pilihan syarikat bas.

Selepas itu, anda boleh pilih tempat duduk mana yang sesuai dan selesa untuk anda mengikut syarikat dan jenis bas yang sedia ada. Anda boleh lihat kerusi mana yang sudah terjual dan jika ada bayi atau kanak-kanak dalam bas tersebut. Kekadang penumpang bas tidak mahu naik bas ekspress yang ada kanak-kanak atau bayi. Takut bising dan menggangu nak tidur.

Jika anda tidak bersetuju, anda masih boleh membuat pilihan bas syarikat lain. Sila buat pilihan dengan betul dan jangan tergesa-gesa kerana apabila bayaran sudah dibuat dan tiket bas dicetak, anda tidak boleh tukar lagi.


Apabila anda sudah selesai membuat pilihan, pegawai akan bertanya jika anda  setuju dengan jumlah bayaran tiket bas. Keterangan bayaran ada terpapar di skrin depan anda. Jika bayaran dibuat, tiket bas akan dicetak.


Tiket bas anda tidak boleh dijual semula kepada orang lain. Jangan cakap jual, nak beri percuma pun tidak boleh. Kenapa? Kerana nama seperti dalam mykad anda akan dicetak sebagai penumpang di atas tiket.

Proses ini dapat menghapuskan terus kegiatan ulat tiket dan penipuan penjualan tiket bas.


Untuk turun ke lobi perlepasan, polis bantuan akan menyemak tiket anda dan juga mykad. Jika anda bukan penumpang, anda tidak boleh masuk ke lobi perlepasan.

Jika ada rombongan cik kiah ikut sama nak menghantar anda. Bolehlah tunggu dahulu di atas sementara belum waktu berlepas.

Jika sudah tiba waktu, sila masuk ke lobi perlepasan. Jangan tunggu sampai saat akhir, nanti takut terlepas bas pula. Kesian juga kepada penumpang lain jika bas lewat kerana menunggu anda.


Jangan risau, di dalam lobi perlepasan ada banyak tempat duduk. Tidak perlu berdiri lama-lama, buat sakit pinggang sahaja.

Terdapat juga paparan skrin mengenai status bas ekspress anda.


Apabila bas ekspress tiba, petugas akan membuka pintu kepada terminal anda. Seperti biasa, anda boleh terus naik setelah petugas memeriksa tiket anda. Masukkan bagasi besar ke tempat simpanan beg di bawah bas dahulu.

Pegawai SPAD akan memastikan pemandu dan kelendan mematuhi kesemua prasyarat perlepasan. Jika semua adalah ok, baru bas ekspress boleh berlepas.

Jangan lupa baca bismillah dan doa perjalanan.

Selamat jalan, moga anda sampai dengan selamat.

Anak Murid Maut Naik Bas Sekolah


Tragedi Bas Sekolah

 Dua tragedi menyayat hati yang melibatkan kanak-kanak sekolah menagih perhatian masyarakat seluruh negara baru-baru ini. Pertama, kes van sekolah yang membawa kanak-kanak tadika bergerak sendiri ke dalam loji kumbahan hingga mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak berusia empat tahun dan terbaharu yang tidak kurang gemparnya, apabila pelajar sebuah sekolah rendah di Sabah tertusuk besi di pipi ketika berlari mendapatkan bas sekolahnya.

Persoalannya, benarkah malang tidak berbau atau sebenarnya ia satu gambaran bahawa amat kurangnya penguatkuasaan yang diambil oleh pihak bertanggungjawab.

Bagi mengulas lanjut mengenai isu ini, MEGA telah mendapatkan penjelasan Pengarah Program Kesihatan dan Keselamatan di Sekolah atau singkatannya OSH in School, Aziz Basiran tentang senario ini.

Katanya, kemalangan seperti ini sepatutnya boleh dielak dengan usaha bersungguh-sungguh dan ikhlas oleh semua pihak.

Kemalangan yang berlaku tidak kira kepada sesiapa, boleh mendatangkan kesakitan dan kesengsaraan kepada mangsa, kerosakan harta dan mengakibatkan kerugian dalam bentuk kewangan.
“Kecederaan seperti luka, patah, terseliuh atau hingga kehilangan anggota badan, selalunya disebabkan oleh kemalangan atau daripada pendedahan trauma persekitaran tempat di mana seseorang itu berada, seperti akibat gigitan haiwan, termasuk serangga atau ular.

“Terdapat juga kecederaan disebabkan pendedahan kepada bahan kimia berbahaya. Semua kemudaratan itu berlaku ada kaitan dengan situasi risiko bahaya (hazard).

“Bahaya bermaksud punca, situasi atau perlakuan yang berpotensi untuk membawa kemudaratan sama ada kecederaan atau penyakit, terhadap manusia atau kombinasinya. Ia meliputi bahaya dari segi fizikal, bahan kimia, biologi dan psikologi.

“Risiko pula bermaksud kombinasi kebarangkalian kejadian peristiwa atau pendedahan berbahaya dan sejauh mana keseriusan kecederaan atau penyakit yang boleh disebabkan oleh kemalangan atau pendedahan terhadap sesuatu yang berbahaya.

“Justeru, risiko perlu dibuat penaksiran dan kawalan mengikuti hierarki seperti penghapusan, penggantian, kawalan kejuruteraan, papan tanda amaran atau kawalan pentadbiran dan peralatan perlindungan diri," jelasnya.

Menurut Aziz lagi, kadang-kadang mata masyarakat umpama tertutup menyebabkan peraturan keselamatan dan kesihatan adalah perlu bagi memastikan semua pihak melakukan sesuatu tugas dengan selamat.

“Bagaimanapun, mengapa orang selalu gagal mematuhi peraturan keselamatan atau gagal mengambil tindakan berhati-hati semasa bekerja?

"Antara sebabnya adalah, tidak diberikan arahan yang spesifik dalam operasi, salah faham arahan, tidak mendengar arahan, mempertimbangkan bahawa arahan sama ada tidak penting atau tidak perlu, dan tidak mempedulikan arahan.

“Oleh itu, peraturan-peraturan keselamatan dan kesihatan perlu difahami, dihayati, dilaksanakan dan dikuatkuasakan dengan ikhlas. Ia perlu sokongan dan kerjasama semua pihak. Ia perlu juga bermula dari awal usia seseorang itu," jelasnya yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Kesihatan dan Keselamatan Industri Malaysia (MiSHA).

Sekolah di Bawah Akta Tempat Kerja


Tambah Aziz, di negara ini, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) mempunyai objektif bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja dilindungi.
Akta 514 terpakai kepada semua majikan termasuk di sekolah-sekolah yang terletak di bawah sektor Perkhidmatan Awam dan Pihak Berkuasa Berkanun.

“Dalam pengurusan risiko, insurans juga merupakan satu keperluan bagi mengurangkan atau meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa yang layak menerimanya yang kebiasaannya di dalam bentuk wang ringgit.

“Murid-murid sekolah mempunyai insurans. Persoalannya, sama ada pampasan yang akan diterima itu mencukupi atau tidak itu adalah persoalan kedua yang memerlukan ibu bapa atau penjaga untuk membuat keputusan adakah perlu mengambil polisi lain," katanya.

Memastikan Perlaksanaan Keselamatan Sistematik 


Dalam pada itu menurut Aziz, peranan utama yang boleh dilakukan oleh pihak berkaitan tentang keselamatan dan kesihatan di sekolah adalah agar memastikan ia selari dengan Akta 514, iaitu memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang sedang bekerja terhadap risiko kepada keselamatan atau kesihatan yang berbangkit daripada aktiviti orang-orang yang sedang bekerja.

“Secara amnya, terdapat pengurusan keselamatan dan kesihatan di sekolah-sekolah. Terdapat juga sekolah-sekolah yang mempunyai pengurusan keselamatan dan kesihatan yang baik.
“Namun, apa yang perlu diselaraskan adalah untuk membangun, melaksana, dan mengekalkan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan di sekolah yang sistematik di semua sekolah di Malaysia," ujarnya.

Aziz juga menyeru pihak berkuasa membangun, melaksana dan mengekalkan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan di sekolah.

“Kami dari MiSHA boleh membantu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk merealisasikan impian sekolah adalah tempat yang selamat.

“Kerjasama yang lebih rapat dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) adalah antara langkah penting. Usah kita bertangguh. Mari kita bersatu demi keselamatan anak-anak," ujarnya.

Sumber: Utusan