Anak Murid Maut Naik Bas Sekolah


Tragedi Bas Sekolah

 Dua tragedi menyayat hati yang melibatkan kanak-kanak sekolah menagih perhatian masyarakat seluruh negara baru-baru ini. Pertama, kes van sekolah yang membawa kanak-kanak tadika bergerak sendiri ke dalam loji kumbahan hingga mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak berusia empat tahun dan terbaharu yang tidak kurang gemparnya, apabila pelajar sebuah sekolah rendah di Sabah tertusuk besi di pipi ketika berlari mendapatkan bas sekolahnya.

Persoalannya, benarkah malang tidak berbau atau sebenarnya ia satu gambaran bahawa amat kurangnya penguatkuasaan yang diambil oleh pihak bertanggungjawab.

Bagi mengulas lanjut mengenai isu ini, MEGA telah mendapatkan penjelasan Pengarah Program Kesihatan dan Keselamatan di Sekolah atau singkatannya OSH in School, Aziz Basiran tentang senario ini.

Katanya, kemalangan seperti ini sepatutnya boleh dielak dengan usaha bersungguh-sungguh dan ikhlas oleh semua pihak.

Kemalangan yang berlaku tidak kira kepada sesiapa, boleh mendatangkan kesakitan dan kesengsaraan kepada mangsa, kerosakan harta dan mengakibatkan kerugian dalam bentuk kewangan.
“Kecederaan seperti luka, patah, terseliuh atau hingga kehilangan anggota badan, selalunya disebabkan oleh kemalangan atau daripada pendedahan trauma persekitaran tempat di mana seseorang itu berada, seperti akibat gigitan haiwan, termasuk serangga atau ular.

“Terdapat juga kecederaan disebabkan pendedahan kepada bahan kimia berbahaya. Semua kemudaratan itu berlaku ada kaitan dengan situasi risiko bahaya (hazard).

“Bahaya bermaksud punca, situasi atau perlakuan yang berpotensi untuk membawa kemudaratan sama ada kecederaan atau penyakit, terhadap manusia atau kombinasinya. Ia meliputi bahaya dari segi fizikal, bahan kimia, biologi dan psikologi.

“Risiko pula bermaksud kombinasi kebarangkalian kejadian peristiwa atau pendedahan berbahaya dan sejauh mana keseriusan kecederaan atau penyakit yang boleh disebabkan oleh kemalangan atau pendedahan terhadap sesuatu yang berbahaya.

“Justeru, risiko perlu dibuat penaksiran dan kawalan mengikuti hierarki seperti penghapusan, penggantian, kawalan kejuruteraan, papan tanda amaran atau kawalan pentadbiran dan peralatan perlindungan diri," jelasnya.

Menurut Aziz lagi, kadang-kadang mata masyarakat umpama tertutup menyebabkan peraturan keselamatan dan kesihatan adalah perlu bagi memastikan semua pihak melakukan sesuatu tugas dengan selamat.

“Bagaimanapun, mengapa orang selalu gagal mematuhi peraturan keselamatan atau gagal mengambil tindakan berhati-hati semasa bekerja?

"Antara sebabnya adalah, tidak diberikan arahan yang spesifik dalam operasi, salah faham arahan, tidak mendengar arahan, mempertimbangkan bahawa arahan sama ada tidak penting atau tidak perlu, dan tidak mempedulikan arahan.

“Oleh itu, peraturan-peraturan keselamatan dan kesihatan perlu difahami, dihayati, dilaksanakan dan dikuatkuasakan dengan ikhlas. Ia perlu sokongan dan kerjasama semua pihak. Ia perlu juga bermula dari awal usia seseorang itu," jelasnya yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Kesihatan dan Keselamatan Industri Malaysia (MiSHA).

Sekolah di Bawah Akta Tempat Kerja


Tambah Aziz, di negara ini, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) mempunyai objektif bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja dilindungi.
Akta 514 terpakai kepada semua majikan termasuk di sekolah-sekolah yang terletak di bawah sektor Perkhidmatan Awam dan Pihak Berkuasa Berkanun.

“Dalam pengurusan risiko, insurans juga merupakan satu keperluan bagi mengurangkan atau meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa yang layak menerimanya yang kebiasaannya di dalam bentuk wang ringgit.

“Murid-murid sekolah mempunyai insurans. Persoalannya, sama ada pampasan yang akan diterima itu mencukupi atau tidak itu adalah persoalan kedua yang memerlukan ibu bapa atau penjaga untuk membuat keputusan adakah perlu mengambil polisi lain," katanya.

Memastikan Perlaksanaan Keselamatan Sistematik 


Dalam pada itu menurut Aziz, peranan utama yang boleh dilakukan oleh pihak berkaitan tentang keselamatan dan kesihatan di sekolah adalah agar memastikan ia selari dengan Akta 514, iaitu memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang sedang bekerja terhadap risiko kepada keselamatan atau kesihatan yang berbangkit daripada aktiviti orang-orang yang sedang bekerja.

“Secara amnya, terdapat pengurusan keselamatan dan kesihatan di sekolah-sekolah. Terdapat juga sekolah-sekolah yang mempunyai pengurusan keselamatan dan kesihatan yang baik.
“Namun, apa yang perlu diselaraskan adalah untuk membangun, melaksana, dan mengekalkan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan di sekolah yang sistematik di semua sekolah di Malaysia," ujarnya.

Aziz juga menyeru pihak berkuasa membangun, melaksana dan mengekalkan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan di sekolah.

“Kami dari MiSHA boleh membantu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk merealisasikan impian sekolah adalah tempat yang selamat.

“Kerjasama yang lebih rapat dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) adalah antara langkah penting. Usah kita bertangguh. Mari kita bersatu demi keselamatan anak-anak," ujarnya.

Sumber: Utusan