Bas Ekspres Wajib Utamakan Keselamatan Penumpang


Lagi satu kes tragis kemalangan maut bas ekspress di Malaysia. Bilakah kemalangan maut penumpang yang melibatkan bas ekspress akan berhenti?

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menjalankan siasatan terperinci ke atas syarikat bas yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 11 Jalan Bentong-Raub, Pahang yang meragut tiga nyawa kelmarin.

Menurut kenyataan SPAD hari ini, antara aspek yang akan diteliti ialah pengurusan keselamatan, pemandu dan penyelenggaraan syarikat bas berkenaan.

"SPAD tidak akan berkompromi dan pasti mengambil tindakan tegas terhadap pengendali (bas terbabit) sekiranya mereka melanggar syarat yang termaktub termasuk dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," kata badan itu.

Bas ekspres Transnasional dua tingkat yang membawa 68 orang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu, Kelantan itu dilaporkan terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan terbalik.

Nahas jam 12.30 malam hari Sabtu itu mengorbankan pasangan suami isteri Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, warga Somalia, 31; dan Zarifah Alias, 26, dari Kota Bharu; serta Suhaisam Che Abdullah, 33, dari Batang Kali, Selangor.  

"SPAD ingin menegaskan kepada semua pengendali bas ekspres agar sentiasa memberi penekanan serius dalam aspek pengurusan pemandu dan penyelenggaraan bagi memastikan perkhidmatan mengangkut penumpang sentiasa selamat," kata kenyataan itu. - Bernama