Negeri Terengganu memang kaya dan maju. Bandar Kuala Terengganu merupakan bandar pertama yang ada tempat letak kereta bertingkat seperti di negara Jepun. Berita terbaru adalah pembelian bas amfibia termoden. Bas ini lagi canggih daripada bas amfibia di Melaka malah lebih hebat berbanding bas Aquaduck di Gold Coast dan Singapura. Tetapi harga pembelian yang bernilai RM3 juta setiap satu yang meragukan.
Sekiranya bas amfibia itu memang keperluan mendesak dalam merancakkan sektor perlancongan Tasik Kenyir. Kajian teliti juga telah dilakukan. Faktanya meyakinkan bahawa dengan pembelian tersebut akan membuatkan limpahan pelancong berkunjung ke tasik buatan manusia yang terbesar di Malaysia ini. Hasilnya ia akan memberikan pulangan ekonomi yang memberangsangkan kepada penduduk sekitar.
Kita mohon penjelasan berkenaan kos RM6 juta tersebut kerana carian di Internet menunjukkan kosnya adalah Euro 280,000 sebuah. Dua buah bermakna Euro 560,000 atau sekitar RM3.4 juta. Kenapa Kerajaan Terengganu nak beli dengan harga RM6 juta, hampir 2 kali ganda dari kos sebenar? Tak usah bawa hujah lama, bas yang Terengganu nak beli ini lain spesikasinya dari yang lain. Ianya dilengkapi dengan ciri-ciri yang lebih sofistikated! Tak ada siapa lagi yang nak percaya dengan hujah ini. Cukuplah kapal selam dan jet pejuang menjadi pengajaran.
Kenyataan dari Kerajaan Negeri menyebut bahawa antara kegunaan kenderaan ini adalah untuk menyelamat mangsa banjir. Sebagaimana yang dimaklumi, lumrah kawasan banjir adalah arusnya deras, banyak sampah sarap dan kayu kayan terapung, laluannya kadang-kadang sempit di celah-celah penempatan, pokok-pokok dan sebagainya lagi. Sesuaikah ia digunakan dalam situasi sebegini? Kena rujuk semula spesifikasi penggunaannya.
Bagaimana dengan alat ganti dan penyelenggaraan. Barang ini bukannya beli sekali boleh guna sepanjang hayat. Jangan bila rosak nanti akan jadi amfibia putih, tak dapat nak dibaiki. Di Terengganu banyak sangat dah ‘projek penyu putih’. Mohon jangan ditambah lagi dalam senarai.
Oleh itu diharap kajian oleh SPRM dijalankan dengan seberapa segera.