Risiko 7.2 juta Penumpang Bas Malaysia Maut Kemalangan



Seramai 7.2 juta rakyat Malaysia meyabung nyawa dengan memilih pengangkutan awam setiap hari, khususnya bas ekspress.

Kenapa? Pemandu bas tidak layak memegang stereng bas. Jangan cakap lesen memandu bas ekspress, lesen memandu kenderaan biasa pun tidak ada.

Tidak hairan kejadian kemalangan maut seringkali berlaku.

KUALA LUMPUR 29 April - Nasib lebih 7.2 juta penumpang bas ekspres di seluruh negara saban tahun menjadi taruhan apabila seramai 1,793 pemandu kenderaan awam itu dikesan tidak mempunyai Lesen Memandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) secara sah, tahun lalu.

Perkara itu didedahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang merekodkan bilangan pemandu bas berkenaan atau 20 peratus daripada lebih 8,000 individu berusia 21 tahun dan ke atas yang berdaftar sebagai pemandu bas ekspres ketika ini.

Lebih membimbangkan ada antaranya langsung tidak memiliki lesen asas pemanduan kenderaan, Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang wajib dimiliki setiap pemandu di negara ini, apabila dalam tempoh sama, seramai 982 pemandu bas eks­pres direkodkan tidak memilikinya.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad berkata, kesemua statistik itu diperoleh pihaknya ketika menjalankan operasi jalan raya di seluruh negara.

“Pada 2012, JPJ menahan seramai 1,522 pemandu bas eks­pres yang tiada lesen PSV, pada 2013 (1,793) manakala tahun ini sehingga Mac lalu, 177 orang.

“Bagi kesalahan pemandu tidak memiliki CDL, pada 2012 seramai 887 orang ditahan, pada 2013 (982) dan sejak Januari hingga Mac lalu (115)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau seterusnya berkata, selain daripada kesalahan tidak memiliki PSV dan CDL, terdapat seramai 1,919 pemandu bas eks­pres ditahan kerana memiliki lesen tamat tempoh, sejak tiga tahun lalu.
Katanya, pada 2012, seramai 1,380 pemandu bas berkenaan ditahan atas kesalahan itu, pa­da 2013 (481) manakala sejak Janua­ri sehingga Mac lalu (58).

­“Dalam tempoh sama, seramai 972 pemandu ditahan atas kesalahan CDL tamat tempoh," katanya.

Oleh itu sanggupkah anda memilih jerangkap maut bas ekspress untuk pulang bercuti hari raya tahun ini?

Sumber: Utusan

Bas UIAM Terbalik di NKVE


Lagi satu kes kemalangan bas ekspress menggemparkan ibu negara semalam. Cuma kita bernasib baik kerana tiada kemalangan jiwa dilaorkan. apa-apa pun nasib 5 pelajar UIAM yang parah masih belum tentu. Mari kita doakan keselamatan mereka.

Lima penuntut dilaporkan parah apabila sebuah bas yang membawa 30 penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terbabas dan terbalik di Kilometer 25 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke selatan kira-kira jam 9.15 pagi tadi.

Difahamkan, kumpulan berkenaan terdiri daripada 16 penuntut lelaki dan 14 perempuan dalam perjalanan ke Bukit Cerakah bagi menyertai program sehari yang dianjurkan Kelab Fasilitator Pelajar (STUFF).

Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas berkenaan melanggar kon penanda yang diletakkan di laluan itu bagi kerja penyelenggaraan menyebabkan ia hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik di tapak pembinaan terbabit.

Penuntut lain cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.


Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan jam 9.42 pagi dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas dan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum operasi tamat sejam kemudian.

Apa punca kemalangan? Pemandu bas yang kurang pengalaman atau memandu dengan laju dan berbahaya.

Sumber: Harian Metro

4 Pemandu Bas Ekspres Positif Dadah


Setiap beberapa tahun muncul kes pemandu bas yang positif dadah menyebabkan kematian penumpang yang tidak bersalah. Lepas tu kita akan dengar kementerian pengangkutan jalan raya membuat saringan air kencing untuk pemandu bas.

Masalah selesai sekejap sahaja lepas tu selepas setahun dua muncul lagi kes kemalangan jiwa kerana bas ekspress di Malaysia. Apabila disiasat oleh  pihak berwajib, punca kemalangan adalah pemandu yang positif dadah.

Sampai bila kes sama nak berulang-ulang seperti Astro? 

ALOR SETAR 26 April - Sebanyak 622 pemandu bas ekspres Malaysia telah menjalani ujian saringan air kencing dalam operasi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara, sejak empat hari lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, daripada jumlah itu, ha­nya empat positif dadah dan tindakan sewajarnya telah diambil terhadap mereka.

"Sejak 22 April lalu, JPJ serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah menempatkan anggota di 22 terminal bas di seluruh negara untuk menjalankan ujian saringan air kencing sebelum pemandu bas ekspres termasuk pemandu kedua, memulakan tugas mereka.

"Hasilnya, empat pemandu didapati positif dadah iaitu satu kes dikesan di Wilayah Persekutuan, dua di Negeri Sembilan dan satu di Terengganu.

"Keempat-empat pemandu itu telah digantung lesen mereka untuk sementara waktu dan kita arahkan mereka ke klinik untuk menjalani pemeriksaan lanjut," katanya selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Zon Utara di Hotel Grand Alora, di sini hari ini.

Pada 22 April lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, semua pemandu bas ekspres diwajibkan menjalani ujian saringan air kencing oleh pegawai penguat kuasa JPJ dan AADK setiap hari, di terminal-terminal bas di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.
Langkah drastik itu merupakan antara beberapa tindakan dilakukan Kementerian Pengangkutan dalam usaha mengelakkan kemalangan melibatkan bas ekspres dan persiaran, berulang.

Menurut Ismail, JPJ akan menggantung lesen pemandu bas ekspres yang disahkan positif dadah dan melakukan kesalahan berulang melibatkan penyalahgunaan dadah.

"Mengikut rekod JPJ, terdapat 9,000 pemandu bas ekspres yang berdaftar dengan pihak kami dan operasi saringan ujian air kencing ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pemandu bas ekspres bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Agak hairan kenapa kerajaan hanya menggantung lesen pemandu bas yang positif dadah. Kenapa tak sumbat mereka ini semua dalam penjara. Bukankah nyawa penumpang ditangan mereka.

Bagi  kami, pemandu bas ini lagi berbahaya berbanding doktor yang cuai. Kalau doktor cuma satu nyawa yang terbang. Tetapi pemandu bas boleh bunuh sampai puluhan orang pada satu masa.


"Ramai yang bersungut ia akan menyebabkan jadual perjalanan bas terganggu, namun pihak kami akan cuba mempercepatkan proses ini," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ismail memberitahu, mulai 1 Mei ini, JPJ akan memulakan sistem pendaftaran kende­raan secara dalam talian bagi mengurangkan kesesakan di kaunter-kaunter JPJ.

"Sistem ini membolehkan pembeli kenderaan baharu iaitu daripada jenama Honda, Perodua, Proton dan Toyota mendaftar kenderaan mereka secara dalam talian tanpa perlu berurusan di kaunter JPJ.
"Sistem ini akan dijalankan secara berperingkat dan dijangka mampu mengurangkan kesesakan di kaunter JPJ," ujarnya.

Sumber: Utusan

SPAD Perlu Ambil Tindakan Syarikat Bas Gaji Pemandu Tidak Bertanggungjawab


Lagi kes kemalangan bas ekspress di Malaysia yang meragut nyawa. Belum tiba lagi musim perayaan kali ini pun kejadian malang sebigini sudah berlaku.

MELAKA, 16 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu mengambil tindakan tegas terhadap syarikat bas yang menggaji pemandu tidak bertanggungjawab bagi mengelak kemalangan maut.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata syarikat bas perlu membuat penelitian rapi terhadap pemandu mereka agar keselamatan penumpang terjamin.

"Biasanya bas berada dalam keadaan baik tetapi kecuaian serta kelemahan pemandu yang mengakibatkan kemalangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan kursus asas pegawai penguatkuasa gred N41 dan pembantu penguatkuasa gred N17 di Akademi Pengangkutan Jalan di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengesahan Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohamad Nor hari ini berhubung pemandu bas terlibat dalam kemalangan maut di Km11, Jalan Bentong-Raub Sabtu lepas didapati positif dadah.

Dalam kemalangan pada 12.30 malam itu, bas ekspres Transnasional dua tingkat yang membawa 68 orang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu, Kelantan dilaporkan terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan terbalik.

Nahas itu mengorbankan pasangan suami isteri Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, warga Somalia, 31; dan Zarifah Alias, 26, dari Kota Baharu; serta Suhaisam Che Abdullah, 33, dari Batang Kali, Selangor.

Bila dah jadi kematian baru agensi kerajaan tergopoh gapah nak buat kerja. Lebih memalukan negara kerana kemalangan maut ini melibatkan pelancong asing daripada negara Somalia.

Permit Bas diGantung SPAD



Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung permit bas persiaran milik Syarikat Merry Holidays Sdn Bhd yang terbabit dalam kemalangan di KM70, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang pada 20 April lalu.

SPAD dalam satu kenyataan memberitahu, penggantungan itu berkuat kuasa Ahad ini membabitkan tujuh permit bas persiaran terbabit. “Keputusan penggantungan diambil kerana pengendalinya gagal mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah Tata Amalan Keselamatan Industri Pengangkutan Awam Darat oleh SPAD (SPAD-ICOP Keselamatan).



“Ia antaranya tidak memasang GPS pada kenderaan, tidak melantik pegawai keselamatan, gagal memantau kelajuan kenderaan serta gagal melakukan pemeriksaan ke atas pemandu sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

SPAD turut memaklumkan sejak Ogos tahun lalu, pihaknya sudah menggantung 542 permit kenderaan syarikat bas henti-henti, bas ekspres, bas persiaran, bas sekolah dan kenderaan perdagangan yang terbabit kemalangan, selain melanggar syarat pelesenan serta SPAD-ICOP Keselamatan.

7 permit Bas Merry Holidays di Gantung


KUALA LUMPUR 25 April - Syarikat bas persiaran, Merry Holidays Sdn. Bhd. (Merry Holidays) menjadi penyedia perkhidmatan bas komersial terbaru yang digantung permit perkhidmatannya oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

SPAD dalam kenyataannya memberitahu, penggantungan itu yang berkuat kuasa 27 April ini susulan kemalangan membabitkan bas syarikat itu pada 20 April lalu yang mengakibatkan seorang penumpang terkorban.

Penggantungan tersebut membabitkan tujuh permit bas persiaran yang beroperasi di laluan Semenanjung Malaysia mengikut peraturan di bawah Pelaksanaan Kod Amalan Industri SPAD-Keselamatan (ICOP).

"Keputusan penggantungan ini diambil kerana pengendali gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah SPAD-ICOP Keselamatan antaranya tidak memasang sistem pengesan global (GPS) serta tidak melantik pegawai keselamatan.

"Syarikat berkenaan turut gagal memantau kelajuan kenderaan, tidak melantik pegawai keselamatan, gagal memantau kelajuan kenderaan yang terlibat kemalangan serta tidak melakukan pemeriksaan ke atas pemandu sebelum memulakan perjalanan," kata kenyataan itu di sini hari ini.

SPAD sebelum ini telah menggantung 33 permit syarikat bas ekspres Transnasional dan Etika kerana terlibat dalam kemalangan menyebabkan ada penumpang yang parah dan terkorban.

Menurut SPAD, sebanyak 542 permit kenderaan digantung sejak Ogos 2013 membabitkan bas henti-henti, bas ekspres, bas persiaran, bas sekolah dan kenderaan perdagangan yang terlibat dengan kemalangan dan melanggar syarat pelesenan ditetapkan.

"Sehubungan itu, SPAD ingin memohon kepada semua pengendali agar sentiasa memberi perhatian serius kepada aspek keselamatan penumpang dan pengurusan pemandu serta penyelenggaraan kenderaan masing-masing," tambah kenyataan itu.

Nyawa penumpang ditangan pengendali bas ekspress, bukan pemandu sahaja!

Sumber: Utusan

Siasat Punca Kemalangan Bas Ekspress Transnasional



KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menjalankan siasatan terperinci ke atas bas ekspres Transnasional yang terlibat dalam kemalangan meragut tiga nyawa di Kilometer 11 Jalan Bentong-Raub pada malam kelmarin.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, siasatan tersebut meliputi pelbagai aspek termasuk pengurusan keselamatan, pemandu dan penyelenggaraan bas ekspres terlibat.

"Pihak kami tidak akan berkompromi dalam kes ini dan akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengenal pasti punca kemalangan itu.

"Tindakan tegas akan dikenakan ke atas pihak pengendali jika mereka didapati melanggar syarat-syarat yang termaktub dalam pekeliling serta Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010," katanya dalam kenyataan akhbar semalam.

Bas ekspres dua tingkat itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan membawa 68 penumpang termasuk pemandu terlibat dalam kemalangan selepas melanggar tiang elektrik di sebelah kanan jalan sebelum terbalik.

Sumber: Kosmo

SPAD Gantung 27 Permit Bas Ekspres Transnasional



KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengantung 27 permit bas ekspres syarikat Transnasional bagi laluan Timur-Sektor Utara berkuat kuasa Rabu ini ekoran kes kemalangan membabitkan bas syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata keputusan itu dibuat hasil pengauditan yang mendapati syarikat berkenaan tidak memantau had kelajuan selain mendapati Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) tidak berfungsi.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat lain yang terbabit dalam kemalangan di Temerloh dan Pekan, Pahang jika terdapat pelanggaran syarat pelesenan serta pekeliling berkaitan.

"Setiap bas persiaran dan bas ekspres wajib dilengkapi GPS sejak 2010, dan perkara ini telah termaktub dalam syarat pelesenan. Maka setiap pengendali harus memastikan GPS sentiasa berfungsi dan dipantau sepenuhnya."

"Pekeliling mengenai Pelaksanaan Kod Amalan Industri SPAD-Keselamatan (ICOP) untuk pengendali bas yang dikeluarkan pada tahun lepas mempertanggungjawabkan pengendali untuk memastikan segala aspek pengurusan pemandu dan penyelenggaraan kenderaan dilakukan secara betul dan berkala," katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Beliau berkata Pekeliling SPAD ICOP-Keselamatan juga menitikberatkan aspek pematuhan had kelajuan dan ia merupakan satu daripada agenda keselamatan yang paling kritikal serta perlu dipantau oleh pengendali setiap masa.

Sehubungan itu, Mohd Nur Ismal berkata SPAD tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak serta akan mengambil tindakan tegas terhadap pengendali bas bagi setiap kejadian pelanggaran had laju yang dikesan.

Beliau berkata semua pengendali bas ekspres perlu memberi penekanan serius dalam aspek pengurusan pemandu, penyelengaraan serta mematuhi setiap piawaian yang ditetapkan dalam SPAD ICOP-Keselamatan bagi memastikan keselamatan penumpang.

"SPAD juga sedang mengkaji kesesuaian penggunaan kotak hitam dalam kenderaan perdagangan," katanya. - Bernama

SPAD Wajib Bertindak Kes Nahas Bas Maut



Malang tidak berbau membawa maksud kecelakaan yang tidak boleh diketahui lebih awal. Sama juga nasib buruk tidak dapat dielakkan. Begitulah yang berlaku dalam beberapa nahas kebelakangan ini. Terkini termasuklah yang melibatkan pemimpin DAP, Karpal Singh dekat Gua Tempurung, Ipoh, Perak. Karpal meninggal dunia di tempat kejadian. Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP pada 29 Mac lalu ekoran dijatuhi hukuman denda RM4,000 selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Pada 11 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Paduka Azman Abdullah menjatuhkan hukuman denda terhadap Karpal atas kesalahan mengeluarkan kenyataan menghasut terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pengguguran Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar lima tahun lalu. Takziah kepada keluarga Karpal dan DAP.

Itu nahas melibatkan kenderaan biasa. Tidak ketinggalan beberapa nahas yang melibatkan pengangkutan awam iaitu bas. Semakin kerap nahas bas berlaku. Pada 12 April lalu, tiga penumpang termasuk sepasang suami isteri maut apabila bas dua tingkat yang dinaiki terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan terbalik di KM11, Jalan Bentong-Raub berdekatan kawasan Bilut. Dalam kejadian pukul 12.30 pagi, Bas Transnasional yang dinaiki 68 penumpang itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu. Pemandu bas kemudiannya didapati positif dadah.

Kelmarin, Bas Ekspres Etika, terlibat dalam nahas di Lebuh Raya Pantai Timur menyebabkan tiga parah. Semalam, satu lagi nahas melibatkan bas persiaran dua tingkat di KM 70 Jalan Kuantan-Segamat menyebabkan seorang terbunuh dan 38 cedera. Begitulah siri nahas bas dalam tempoh terdekat ini. Bas ekspres terus menjadi pilihan ramai kerana itu satu-satunya pengangkutan darat yang ada.

Mungkin apabila kereta api laju (ETS) beroperasi sepenuhnya, orang ramai akan beralih kepada kereta api. Nahas yang melibatkan bas termasuk bas dua tingkat bukanlah satu perkara baru. Pelbagai cadangan dan rumusan dibuat tetapi nahas tidak dapat dielakkan. Elok kita selak kembali beberapa nahas yang melibatkan bas.

Akhir tahun 2009, bas dua tingkat Sani Express terlibat dalam nahas di Kilometer (KM) 272.8 Lebuh Raya Utara Selatan yang mengorbankan 10 nyawa. Pada 21 Disember 2010, bas persiaran dua tingkat terbabas ketika menuruni bukit di KM 15 Jalan Cameron Highlands - Simpang Pulai menyebabkan 27 orang maut.

Pada awal pagi 13 April 2009 pula, nahas bas dua tingkat AB Express menyebabkan enam terkorban di KM443, Lebuh Raya Utara - Selatan berdekatan Rawang. Pada 7 Disember 2008, nahas bas ekspres Super Nice Grassland meragut 10 nyawa di KM146.5 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Pagoh, Johor. Pada 13 Ogos 2007 pula, 20 orang maut dan lapan parah apabila bas ekspres terhumban ke parit sedalam lima meter di KM 229, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Gantang. Nahas terburuk berlaku pada 21 Ogos 2013 di KM 3.5 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur apabila sebuah bas terjunam sejauh 60 meter ke dalam gaung dan meragut 37 nyawa.

Apakah punca nahas? Adakah kerana bas termasuk bas dua tingkat, jalan raya/lebuh raya atau sikap pemandu? Ada cadangan sebelum ini yang melarang perjalanan bas selepas 12 tengah malam. Ada juga yang meminta dikaji kesesuaian bas dua tingkat bergerak di lebuh raya.

Pada satu ketika dicadangkan pemasangan kotak hitam. Bagi sesetengah perjalanan pula wajib mempunyai dua pemandu. Entah apa pula yang akan dicadangkan selepas `musim nahas bas' ini. Tetapi apakah kesudahannya? Adakah apa yang sudah diputuskan dikuatkuasakan? Atau sekadar ketetapan, peraturan dan undang-undang di atas kertas? Memang ajal maut bukan kita yang menentukannya tetapi manusia disuruh berusaha dan berikhtiar

Di lebuh raya, sudah lumrah bas ekspres dipandu laju, seolah-olah sedang berlumba. Maka, pemantauan perlu dilakukan sepanjang masa, bukan mengikut musim nahas atau musim perayaan. Saban malam ketika pulang awal pagi, saya sering terserempak dengan bas ekspres yang dipandu laju sama ada yang menghala ke selatan - mungkin Johor Bahru atau Singapura atau ke Kuala Lumpur, Ipoh atau Pulau Pinang. Apakah mungkin bas berkenaan dipandu sekadar 90 km. sejam jika kenderaan kita yang sedang memecut 100 km. sejam dipotong begitu mudah? Kadang-kadang terasa kenderaan kita bergoyang apabila dipintas oleh bas.

Kelajuannya mungkin mencecah lebih 110 km. sejam. Lebih menakutkan aksinya yang ke tepi ke tengah untuk memotong kenderaan. Kenapa pemandu berani memecut? Adakah kerana laluan yang lurus dan lebuh raya yang kosong selepas tengah malam? Mungkin itu salah satu faktornya. Tidak ada sesiapa peduli tentang had kelajuan pada waktu begitu. Jika ada perangkap laju pun, pemandu sudah arif. Sama seperti pemandu kenderaan lain, mereka akan memecut apabila berpeluang dan bersopan mengikut had kelajuan apabila melintasi kawasan yang mempunyai kamera had laju.

Memang sukar untuk membentuk sikap pemanduan berhemah termasuk yang melibatkan bas ekspres. Pemandu sedar mereka membawa banyak jiwa bersama, bukan seperti kenderaan biasa, empat atau lima orang sahaja. Dalam hal ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu melakukan sesuatu. Fikirkan kaedah yang boleh mengawal sikap pemanduan yang tidak berhemah ini.

Menyamar sebagai penumpang. Buatlah operasi lebih kerap. Kenali sikap sebenar pemandu lebih-lebih lagi pada waktu malam atau awal pagi. Buatlah penilaian sama ada pemandu ketika itu dalam keletihan, mengantuk, tidak berhemah semasa memandu (memandu secara berbahaya) atau tidak fokus kepada pemanduan. Profesionalisme pemandu perlu diberi perhatian supaya kaedah pengendalian dan pemanduan bas lebih selamat.

Bagi bas dua tingkat pula, satu mekanisme khusus perlu disediakan. Adakah pemandu kita belum terlatih untuk mengendalikan bas dua tingkat? Mungkin juga laluan khusus sahaja dibenarkan untuk perkhidmatan bas ekspres dua tingkat ini. SPAD perlu melakukan sesuatu sebelum lebih banyak jiwa menjadi korban nahas bas ekspres. Bertindaklah segera!

Sumber: Utusan

Pemandu Bas Transnasional Mengaku Tidak Bersalah Ambil Morfin


Pemandu bas Malaysia kaki dadah? Masukkan dadah jenis morfin dalam badan. Ini bukan dadah ganja atau air ketum tetapi kes cucuk morfin dengan jarum. 

BENTONG, 16 April (Bernama) -- Pemandu bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 11 Jalan Bentong-Raub Sabtu lepas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Rabu terhadap pertuduhan memasukkan dadah jenis morfin ke dalam badan.

Wan Khairul Efendi Wan Mustapa, 35, yang berasal dari Bachok, Kelantan didakwa memasukkan dadah ke dalam badannya, berdasarkan ujian air kencing yang dilakukan pihak polis sejurus ditahan selepas kemalangan itu pada 12 April lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Isa Mohd Nor memerintahkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mei untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Inspektor Anuar Afendi manakala tertuduh diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff.

Wan Khairul Efendi bagaimanapun ditahan semula oleh pihak polis hari ini mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan untuk siasatan lanjut mengenai kemalangan itu.

Dalam nahas pukul 12.30 tengah malam itu, tiga orang termasuk sepasang suami isteri maut manakala 10 lagi cedera selepas sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas dan terbalik.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah Suhaisam Che Abdulla, 33, dan pasangan suami isteri, Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, 31 (Warga Somalia), dan isterinya Zarifah Alias, 26.

Bas Ekspres Wajib Utamakan Keselamatan Penumpang


Lagi satu kes tragis kemalangan maut bas ekspress di Malaysia. Bilakah kemalangan maut penumpang yang melibatkan bas ekspress akan berhenti?

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menjalankan siasatan terperinci ke atas syarikat bas yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 11 Jalan Bentong-Raub, Pahang yang meragut tiga nyawa kelmarin.

Menurut kenyataan SPAD hari ini, antara aspek yang akan diteliti ialah pengurusan keselamatan, pemandu dan penyelenggaraan syarikat bas berkenaan.

"SPAD tidak akan berkompromi dan pasti mengambil tindakan tegas terhadap pengendali (bas terbabit) sekiranya mereka melanggar syarat yang termaktub termasuk dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," kata badan itu.

Bas ekspres Transnasional dua tingkat yang membawa 68 orang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu, Kelantan itu dilaporkan terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan terbalik.

Nahas jam 12.30 malam hari Sabtu itu mengorbankan pasangan suami isteri Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, warga Somalia, 31; dan Zarifah Alias, 26, dari Kota Bharu; serta Suhaisam Che Abdullah, 33, dari Batang Kali, Selangor.  

"SPAD ingin menegaskan kepada semua pengendali bas ekspres agar sentiasa memberi penekanan serius dalam aspek pengurusan pemandu dan penyelenggaraan bagi memastikan perkhidmatan mengangkut penumpang sentiasa selamat," kata kenyataan itu. - Bernama