Amaran mengadakan perhimpunan teksi di segi tiga emas ibu kota pada
Isnin (9/6/2014) yang diberi Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur untuk
membantah operasi bersama agensi penguatkuasa pengangkutan yang
dipanggil Op BBKLCC disifatkan ugutan `syok sendiri' semata-mata.
Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor
(Perpekli) Datuk Aslah Abdullah berkata, kumpulan kecil pemandu teksi
itu dilihat hanya
menyusahkan orang ramai sekali gus memalukan nama
negara di mata pelancong. "Apa motif mereka hendak menggertak
penguatkuasa untuk melakukan perhimpunan dan menyekat jalan utama di
tengah bandaraya? Masalah ini berpunca daripada mereka sendiri yang suka
memilih penumpang.
"
Mereka kata ada ahli sehingga 250 orang
yang sanggup untuk turun Isnin ini tapi saya yakin tindakan ini lebih
kepada berunsur kepentingan peribadi kumpulan kecil sahaja," katanya
ketika dihubungi di sini.
Aslah mengulas kenyataan `ugutan'
Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur di sebuah akhbar,
Mohamed Asharaf Yasin untuk mengadakan protes besar-besaran pada Isnin.
Ia difahamkan akibat Op BBKLCC oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) dan polis pada pemandu teksi yang disifatkan tidak
bertanggungjawab.
Isu mogok teksi juga dibincang hangat di dalam Twitter.
Pelbagai pendapat diberi termasuk kecaman kepada SPAD yang dikatakan
perlu mempertimbangkan permintaan Persatuan Pemandu Teksi Bestari.
Bagaimanapun ada juga yang menyifatkan tindakan segelintir pemandu
teksi ini hanya menyumbang kepada kesesakan lalu lintas terutama pada
musim cuti sekolah sekarang.
Tambah Aslah, kumpulan pendesak itu disifatkan `besar kepala' kerana merasakan menguasai kawasan utama ibu kota.
"Jangan mengada-ngada, permintaan yang dibuat sebenarnya melampau dah seolah-olah tidak memahami situasi di lokasi berkenaan.
"Mereka nampak gah kerana beroperasi di kawasan paling strategik di ibu
kota. Namun mereka juga perlu faham sedikit kesilapan yang dilakukan
akan mencacatkan nama seluruh persatuan teksi,'' ujarnya.
Aslah
menambah, dia difahamkan
permintaan kumpulan berkenaan antara lain
adalah kebenaran lebih masa dan lebih banyak teksi untuk menunggu
penumpang pada sesuatu masa. "Pada masa sekarang hanya empat
atau lima teksi dibenarkan `beratur' di hentian teksi untuk menunggu
penumpang, sudah tentu ia satu kesalahan jika lebih 10 teksi menunggu
penumpang dan ia pasti menyumbang kepada kesesakan jalan raya,''
jelasnya.
Ujarnya lagi, punca kumpulan ini suka mencari penumpang di lokasi berkenaan adalah kerana banyaknya pelancong asing.
Tegasnya,
kumpulan ini akan memerangkap pelancong berkenaan dengan
menafikan penggunaan meter dan mengenakan caj berlebihan ke destinasi
penumpang. Dalam pada itu kata Aslah,
ugutan protes itu
dikatakan hanya membantutkan proses penambahan caj teksi yang dikatakan
bermula selepas Hari Raya Aidilfitri. "Rugilah kalau mereka
meneruskan rancangan protes ini, mereka sendiri tahu kita sudah di
peringkat akhir perbincangan untuk pertimbangan caj baru teksi dalam
masa terdekat.
"Jika jadi (protes), ia akan membantutkan perbincangan dan menjadi faktor kerugian besar kepada semua pemandu teksi,'' ujarnya.
Ketika ditanya tentang kenaikan caj baru teksi, Aslah menjelaskan, ia
hanya melibatkan teksi eksekutif dan sedikit anjakan harga terhadap masa
menunggu penumpang pada waktu sibuk
Sumber: Astro Awani