Murid Sekolah Maut Dilanggar Bas Mini Sekolah
Seorang murid sekolah tahun satu tidak sempat pulang ke rumah setelah dia maut dilanggar bas mini sekolah yang dinaikinya ketika hendak melintas jalan di Jalan Seroja, Taman Plentong Baru di sini semalam.
Mangsa, Nor Balqis Atiqah Hamdan Rasan Tawani Ahmad, 7, yang belajar di Sekolah Kebangsaan Permas Jaya 2 meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail di sini akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Abdul Samad Salleh berkata, semasa kejadian pada pukul 1.10 petang, bas terbabit dikatakan telah berhenti di bahu jalan sebelah kiri dan menurunkan pelajar termasuk mangsa.
Bapa saudara mangsa, Sulaiman Ibrahim, 48, berkata, dia yang sedang bekerja di Ulu Tiram bergegas ke HSI sebaik mendapat panggilan daripada ibu mangsa.
"Saya masih terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka kejadian ini menimpa anak saudara saya. Bukan nak salahkan sesiapa, namun pemandu bas tersebut sepatutnya kena lebih berwaspada dan memastikan murid-murid selamat sampai ke rumah sebelum bergerak," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Abdul Samad Salleh berkata, setelah menurunkan mangsa, pemandu wanita itu terus memandu bas tersebut sebelum berhenti apabila terdengar jeritan orang ramai
"Pemandu bas itu kemudian turun dan ternampak seorang murid perempuan sedang terbaring di sebelah belakang kanan bas itu," katanya.
Menurut Abdul Samad, pemandu bas berkenaan yang berusia lingkungan 40-an kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.