Tiket Bas ke Pantai Timur Sudah Habis



Orang ramai yang mahu pulang berhari raya ke kampung di Pantai Timur, terutamanya Kelantan dan Terengganu terpaksa berputih mata apabila kebanyakan tiket bas ekspres ke destinasi tersebut telah habis dijual walaupun baru seminggu umat Islam berpuasa.

Tinjauan Kosmo! di Hentian Putra di sini semalam mendapati, tiket untuk perjalanan ke Kelantan dari 24 hingga 27 Julai ini dan beberapa kaunter untuk ke Terengganu sudah habis dijual sejak penghujung bulan Jun lalu.

Beberapa kakitangan syarikat bas ekspres yang ditemui mengakui tiket ke Kelantan sememangnya menjadi rebutan warga kota dan habis terjual pada hari pertama dan kedua jualan dibuka.

Kakitangan syarikat bas Ekspres Perdana, Siti Nur Ain Sa’don Zubir, 24, berkata, tiket ke Machang hingga ke Pengkalan Kubor, Kelantan telah habis dijual sejak minggu ketiga bulan Jun lalu.

Sumber: Kosmo