Teksi Kuala Lumpur Tidak Jadi Mogok Esok
Polis menolak ura-ura yang mengatakan Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur akan mengadakan protes besar-besaran di ibu kota esok sebagai bantahan terhadap Op BBKLCC seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya telah pun memanggil Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur, Mohamed Asharaf Yasin dan beliau diberitahu persatuan teksi tidak akan mengadakan sebarang mogok atau bantahan.
"Mereka (Bestari) tak cakap pun akan buat demo... sebab mereka pun enggan berbuat demikian kerana tidak mahu merosakkan imej mereka serta tidak mahu menyusahkan orang ramai," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau mengulas tentang kenyataan 'ugutan' oleh Persatuan Pemandu Teksi Bestari yang dilaporkan oleh akhbar tersebut pada Sabtu yang menurutnya tidak tepat dan disalah lapor.
Jelas beliau, apa yang hendak dilakukan oleh Bestari hanyalah berunding dengan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkenaan operasi bersama agensi penguatkuasaan pengangkutan yang dipanggi Op BBKLCC itu.
Op BBKLCC bakal melibatkan operasi kerjasama di antara JPJ, SPAD, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis pada pemandu teksi yang disifatkan tidak bertanggungjawab.
Isu mogok teksi juga telah mendapat perhatian orang ramai termasuk dibincang hangat di dalam laman media sosial Twitter.
Pelbagai pendapat diberi termasuk kecaman kepada SPAD yang dikatakan perlu mempertimbangkan permintaan Persatuan Pemandu Teksi Bestari.
Bagaimanapun ada juga yang menyifatkan tindakan segelintir pemandu teksi ini hanya menyumbang kepada kesesakan lalu lintas terutama pada musim cuti sekolah sekarang.
Ia turut mendapat kecaman dari Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli) Datuk Aslah Abdullah berkata, tindakan itu hanya akan menyusahkan orang ramai sekali gus memalukan nama negara di mata pelancong.
Sementara itu, SPAD dijangka akan mengambil tindakan tegas terhadap 33 pemandu teksi yang dikenal pasti menyertai demonstrasi Rabu lepas, di Bukit Bintang, menurut laporan Bernama.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan polis dan JPJ bagi mengenal pasti pemandu teksi lain yang turut menyertai demonstrasi itu sehingga menghalang lalu lintas serta mengganggu ketenteraman awam.
Sumber: Astro Awani