Bas Ekspress Terbabas Masuk Longkang di Butterworth


BUTTERWORTH: Lima penumpang sebuah bas ekspres cedera ringan apabila bas yang dinaiki terbabas dan terhumban ke dalam longkang sedalam empat meter di Jalan Baru, Perai di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 6 pagi itu, bas KMK Star Coach membawa tujuh penumpang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Perlis itu dikatakan hilang kawalan ketika pemandu bas berusia 25 tahun berkenaan cuba mengelak sebuah kenderaan lain.



Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata tujuh penumpang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berjaya keluar melalui cermin hadapan dan tingkap bas yang dipecahkan oleh seorang daripada penumpang berkenaan.

"Semua mereka termasuk pemandu bas dihantar ke Hospital Seberang Jaya, di sini. Pemandu dan lima penumpang cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar manakala dua lagi penumpang tidak cedera," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini





Beliau berkata bas berkenaan telah singgah di Butterworth di sini untuk menurunkan penumpang sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis, Perlis.

Rusli berkata bas berkenaan hilang kawalan selepas cuba mengelak sebuah kenderaan lain di hadapannya menyebabkan ia terbabas ke kiri jalan dan melanggar pagar longkang sebelum masuk ke dalam longkang.




"Kami akan mengambil keterangan pemandu bas untuk siasatan lanjut. Polis telah mengambil sampel darah pemandu bas yang berasal dari Johor itu untuk ujian alkohol dan dadah," katanya.
Sementara itu, seorang penumpang yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 30, berkata beliau sedang tidur sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dan suara penumpang menjerit.

"Saya naik bas dari Melaka dan dalam perjalanan ke Kangar, bas ekspres yang saya naik ini berhenti banyak tempat...sedar-sedar sudah berada dalam longkang," katanya ketika di Hospital Seberang Jaya.


 Sumber: Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...