RM3 Juta Untuk Beli 3 Trak Tunda



Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) menerusi anak syarikatnya, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) melabur RM3 juta bagi menyediakan tiga trak tunda untuk memudahkan proses penyelenggaraan kerosakan bas miliknya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Zohari Sulaiman berkata, tiga trak tunda yang mampu menarik beban sehingga 90 tan itu akan digunakan oleh RapidKL membabikan dua unit, manakala Rapid Penang menerima satu unit jentera berkenaan.


“Trak tunda ini akan beroperasi serta-merta malah kita tidak lagi bergantung kepada pihak luar di mana syarikat persendirian yang tidak mempunyai bilangan jentera yang mencukupi sehingga mengambil masa lama untuk menunda bas kami sekiranya berlaku kerosakan.

“Ini menjadi inisiatif terkini Rapid Bus untuk menjadikan pengangkutan awam yang terbaik pada peringkat global,” katanya selepas majlis penyerahan Trak Tunda jenama MAN kepada Rapid Bus, di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Rapid Bus, Datuk Ruhaizah Mohamed Rashid dan Pengarah Urusan Trak dan Bas MAN Malaysia, Hartmut Mueller.

Sumber: Harian Metro