Teksi Bestari Yang Nak Mogok
Amaran mengadakan perhimpunan teksi di segi tiga emas ibu kota pada Isnin (9/6/2014) yang diberi Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur untuk membantah operasi bersama agensi penguatkuasa pengangkutan yang dipanggil Op BBKLCC disifatkan ugutan `syok sendiri' semata-mata.
Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli) Datuk Aslah Abdullah berkata, kumpulan kecil pemandu teksi itu dilihat hanya menyusahkan orang ramai sekali gus memalukan nama negara di mata pelancong.
"Apa motif mereka hendak menggertak penguatkuasa untuk melakukan perhimpunan dan menyekat jalan utama di tengah bandaraya? Masalah ini berpunca daripada mereka sendiri yang suka memilih penumpang.
"Mereka kata ada ahli sehingga 250 orang yang sanggup untuk turun Isnin ini tapi saya yakin tindakan ini lebih kepada berunsur kepentingan peribadi kumpulan kecil sahaja," katanya ketika dihubungi di sini.
Aslah mengulas kenyataan `ugutan' Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur di sebuah akhbar, Mohamed Asharaf Yasin untuk mengadakan protes besar-besaran pada Isnin.
Ia difahamkan akibat Op BBKLCC oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis pada pemandu teksi yang disifatkan tidak bertanggungjawab.
Isu mogok teksi juga dibincang hangat di dalam Twitter.
Pelbagai pendapat diberi termasuk kecaman kepada SPAD yang dikatakan perlu mempertimbangkan permintaan Persatuan Pemandu Teksi Bestari.
Bagaimanapun ada juga yang menyifatkan tindakan segelintir pemandu teksi ini hanya menyumbang kepada kesesakan lalu lintas terutama pada musim cuti sekolah sekarang.
Tambah Aslah, kumpulan pendesak itu disifatkan `besar kepala' kerana merasakan menguasai kawasan utama ibu kota.
"Jangan mengada-ngada, permintaan yang dibuat sebenarnya melampau dah seolah-olah tidak memahami situasi di lokasi berkenaan.
"Mereka nampak gah kerana beroperasi di kawasan paling strategik di ibu kota. Namun mereka juga perlu faham sedikit kesilapan yang dilakukan akan mencacatkan nama seluruh persatuan teksi,'' ujarnya.
Aslah menambah, dia difahamkan permintaan kumpulan berkenaan antara lain adalah kebenaran lebih masa dan lebih banyak teksi untuk menunggu penumpang pada sesuatu masa.
"Pada masa sekarang hanya empat atau lima teksi dibenarkan `beratur' di hentian teksi untuk menunggu penumpang, sudah tentu ia satu kesalahan jika lebih 10 teksi menunggu penumpang dan ia pasti menyumbang kepada kesesakan jalan raya,'' jelasnya.
Ujarnya lagi, punca kumpulan ini suka mencari penumpang di lokasi berkenaan adalah kerana banyaknya pelancong asing.
Tegasnya, kumpulan ini akan memerangkap pelancong berkenaan dengan menafikan penggunaan meter dan mengenakan caj berlebihan ke destinasi penumpang.
Dalam pada itu kata Aslah, ugutan protes itu dikatakan hanya membantutkan proses penambahan caj teksi yang dikatakan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri.
"Rugilah kalau mereka meneruskan rancangan protes ini, mereka sendiri tahu kita sudah di peringkat akhir perbincangan untuk pertimbangan caj baru teksi dalam masa terdekat.
"Jika jadi (protes), ia akan membantutkan perbincangan dan menjadi faktor kerugian besar kepada semua pemandu teksi,'' ujarnya.
Ketika ditanya tentang kenaikan caj baru teksi, Aslah menjelaskan, ia hanya melibatkan teksi eksekutif dan sedikit anjakan harga terhadap masa menunggu penumpang pada waktu sibuk
Sumber: Astro Awani