7 Maut Terminal Bas Seoul Terbakar



SEOUL 26 Mei - Sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban manakala lebih 41 lagi cedera, selepas sebuah terminal bas di wilayah Gyeonggi, utara Seoul terbakar, hari ini.

Menurut laman web Yonhap News, kebakaran berlaku kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan (8 pagi waktu Malaysia) di kawasan pembinaan yang terletak di bahagian bawah Terminal Bas Goyang.

Jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan berkata, asap tebal menjadi punca utama mangsa terkorban dan cedera.

Anggota bomba percaya kerja-kerja kimpalan di restoran yang terletak di bawah terminal berkenaan menjadi punca kebakaran berlaku.

"Mereka yang cedera menerima rawatan di hospital, dengan lapan darinya berada dalam keadaan kritikal," jelasnya.

Menurut bomba, mayat mang­sa yang terkorban dijumpai di kawasan medan selera yang terletak berhampiran tapak pembinaan dan identiti mangsa setakat ini masih tidak diketahui.

Anggota bomba dan penyelamat hanya memerlukan masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran.

Agensi berita CBS News melaporkan, empat buah kereta bomba dan lima buah ambulans dikejarkan ke tempat kejadian bagi memastikan situasi terkawal.

Sementara itu, ibu pejabat Bencana dan Tindakan Keselamatan Korea Selatan turut bertindak menghantar pasukan kecemasan ke tempat kejadian, ekoran wujud kebimbangan jumlah mereka yang terkorban akan meningkat. - AFP/AGENSI