Senarai Pengendali Bas Sekolah Di Semenanjung Malaysia


Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) menggalakkan pengusaha bas sekolah yang belum berdaftar, untuk mendapatkan permit yang sah bagi keselamatan murid-murid sekolah yang menjadi penumpang mereka. S.P.A.D. sedang mengendalikan Skim Perlindungan Insurans Murid Sekolah selaras dengan pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada sesi pembentangan Bajet 2013.

Skim ini berkuatkuasa dari 2 Januari 2013 hingga 1 Januari 2014.Skim perlindungan insurans ini melibatkan murid-murid sekolah yang bersekolah di sekolah-sekolah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dan menaiki/menggunakan bas-bas sekolah yang berlesen dengan S.P.A.D. di seluruh Semenanjung dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi Sabah dan Sarawak. 

Antara bentuk perlindungan insurans yang diberikan adalah yang melibatkan kematian akibat kemalangan (RM100,000), hilang keupayaan kekal (sehingga RM 100,000), bayaran perubatan sehingga RM3,000, manfaat hospital (RM100 sehari sehingga 30 hari) dan khairat kematian (RM2,500). 

Skim perlindungan ini juga meliputi kegunaan bas sekolah untuk aktiviti-aktiviti luar seperti rombongan, lawatan sambil belajar dan sebarang kurikulum tambahan yang disahkan oleh pihak sekolah. Senarai ini akan dikemaskinikan dari masa ke semasa bagi kemudahan ibubapa dan penjaga mengenalpasti samada perkhidmatan  pengendali bas sekolah yang digunakan adalah sah atau tidak.