Showing posts with label bas sekolah. Show all posts
Showing posts with label bas sekolah. Show all posts
Bas Sekolah Kemalangan di Rawang
Satu kemalangan bas sekolah dilaporkan berlaku di Rawang pada hari ini 19/6/2014.
Bas sekolah ini berlanggar dengan belakang lori kontena dan terbabas ke sebelah kiri bahu jalanraya dan berlanggar dengan pokok.
Pemandu bas sekolah cedera manakala semua pelajar sekolah seramai 40 orang selamat. Orang ramai membantu mengeluarkan pemandu bas sekolah yang tersepit dicelah stering bas. Dia kemudian dihantar ke hospital berdekatan.
Laporan penuh di bawah:
Sumber: MKL Crimedesk
Murid Sekolah Maut Dilanggar Bas Mini Sekolah
Seorang murid sekolah tahun satu tidak sempat pulang ke rumah setelah dia maut dilanggar bas mini sekolah yang dinaikinya ketika hendak melintas jalan di Jalan Seroja, Taman Plentong Baru di sini semalam.
Mangsa, Nor Balqis Atiqah Hamdan Rasan Tawani Ahmad, 7, yang belajar di Sekolah Kebangsaan Permas Jaya 2 meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail di sini akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Abdul Samad Salleh berkata, semasa kejadian pada pukul 1.10 petang, bas terbabit dikatakan telah berhenti di bahu jalan sebelah kiri dan menurunkan pelajar termasuk mangsa.
Bapa saudara mangsa, Sulaiman Ibrahim, 48, berkata, dia yang sedang bekerja di Ulu Tiram bergegas ke HSI sebaik mendapat panggilan daripada ibu mangsa.
"Saya masih terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka kejadian ini menimpa anak saudara saya. Bukan nak salahkan sesiapa, namun pemandu bas tersebut sepatutnya kena lebih berwaspada dan memastikan murid-murid selamat sampai ke rumah sebelum bergerak," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Abdul Samad Salleh berkata, setelah menurunkan mangsa, pemandu wanita itu terus memandu bas tersebut sebelum berhenti apabila terdengar jeritan orang ramai
"Pemandu bas itu kemudian turun dan ternampak seorang murid perempuan sedang terbaring di sebelah belakang kanan bas itu," katanya.
Menurut Abdul Samad, pemandu bas berkenaan yang berusia lingkungan 40-an kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Kosmo, Utusan, Harian Metro
31 Kanak-kanak Rentung Bas Terbakar
BOGOTA - COLOMBIA. Seramai 31 kanak-kanak rentung selepas bas dinaiki terbakar berhampiran bandar Fundacion di utara Colombia, kelmarin.
Jurucakap penyelamat Colombia, Cesar Uruna berkata, sebanyak 25 yang lain termasuk seorang dewasa parah.
"Kebanyakan mangsa dalam keadaan kritikal," katanya menurut laporan AFP.
Kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu bas dikatakan gagal mengendalikan bekas mengandungi petrol yang dibawa di dalam bas sehingga mencetuskan kebakaran.
Difahamkan kanak-kanak terlibat dalam kemalangan terbabit berumur antara setahun dan 8 tahun.
Anak Murid Maut Naik Bas Sekolah
Tragedi Bas Sekolah
Dua tragedi menyayat hati yang melibatkan kanak-kanak sekolah menagih perhatian masyarakat seluruh negara baru-baru ini. Pertama, kes van sekolah yang membawa kanak-kanak tadika bergerak sendiri ke dalam loji kumbahan hingga mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak berusia empat tahun dan terbaharu yang tidak kurang gemparnya, apabila pelajar sebuah sekolah rendah di Sabah tertusuk besi di pipi ketika berlari mendapatkan bas sekolahnya.Persoalannya, benarkah malang tidak berbau atau sebenarnya ia satu gambaran bahawa amat kurangnya penguatkuasaan yang diambil oleh pihak bertanggungjawab.
Bagi mengulas lanjut mengenai isu ini, MEGA telah mendapatkan penjelasan Pengarah Program Kesihatan dan Keselamatan di Sekolah atau singkatannya OSH in School, Aziz Basiran tentang senario ini.
Katanya, kemalangan seperti ini sepatutnya boleh dielak dengan usaha bersungguh-sungguh dan ikhlas oleh semua pihak.
Kemalangan yang berlaku tidak kira kepada sesiapa, boleh mendatangkan kesakitan dan kesengsaraan kepada mangsa, kerosakan harta dan mengakibatkan kerugian dalam bentuk kewangan.
Kecederaan seperti luka, patah, terseliuh atau hingga kehilangan anggota badan, selalunya disebabkan oleh kemalangan atau daripada pendedahan trauma persekitaran tempat di mana seseorang itu berada, seperti akibat gigitan haiwan, termasuk serangga atau ular.
Terdapat juga kecederaan disebabkan pendedahan kepada bahan kimia berbahaya. Semua kemudaratan itu berlaku ada kaitan dengan situasi risiko bahaya (hazard).
Bahaya bermaksud punca, situasi atau perlakuan yang berpotensi untuk membawa kemudaratan sama ada kecederaan atau penyakit, terhadap manusia atau kombinasinya. Ia meliputi bahaya dari segi fizikal, bahan kimia, biologi dan psikologi.
Risiko pula bermaksud kombinasi kebarangkalian kejadian peristiwa atau pendedahan berbahaya dan sejauh mana keseriusan kecederaan atau penyakit yang boleh disebabkan oleh kemalangan atau pendedahan terhadap sesuatu yang berbahaya.
Justeru, risiko perlu dibuat penaksiran dan kawalan mengikuti hierarki seperti penghapusan, penggantian, kawalan kejuruteraan, papan tanda amaran atau kawalan pentadbiran dan peralatan perlindungan diri," jelasnya.
Menurut Aziz lagi, kadang-kadang mata masyarakat umpama tertutup menyebabkan peraturan keselamatan dan kesihatan adalah perlu bagi memastikan semua pihak melakukan sesuatu tugas dengan selamat.
Bagaimanapun, mengapa orang selalu gagal mematuhi peraturan keselamatan atau gagal mengambil tindakan berhati-hati semasa bekerja?
"Antara sebabnya adalah, tidak diberikan arahan yang spesifik dalam operasi, salah faham arahan, tidak mendengar arahan, mempertimbangkan bahawa arahan sama ada tidak penting atau tidak perlu, dan tidak mempedulikan arahan.
Oleh itu, peraturan-peraturan keselamatan dan kesihatan perlu difahami, dihayati, dilaksanakan dan dikuatkuasakan dengan ikhlas. Ia perlu sokongan dan kerjasama semua pihak. Ia perlu juga bermula dari awal usia seseorang itu," jelasnya yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Kesihatan dan Keselamatan Industri Malaysia (MiSHA).
Sekolah di Bawah Akta Tempat Kerja
Tambah Aziz, di negara ini, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) mempunyai objektif bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja dilindungi.
Akta 514 terpakai kepada semua majikan termasuk di sekolah-sekolah yang terletak di bawah sektor Perkhidmatan Awam dan Pihak Berkuasa Berkanun.
Dalam pengurusan risiko, insurans juga merupakan satu keperluan bagi mengurangkan atau meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa yang layak menerimanya yang kebiasaannya di dalam bentuk wang ringgit.
Murid-murid sekolah mempunyai insurans. Persoalannya, sama ada pampasan yang akan diterima itu mencukupi atau tidak itu adalah persoalan kedua yang memerlukan ibu bapa atau penjaga untuk membuat keputusan adakah perlu mengambil polisi lain," katanya.
Memastikan Perlaksanaan Keselamatan Sistematik
Dalam pada itu menurut Aziz, peranan utama yang boleh dilakukan oleh pihak berkaitan tentang keselamatan dan kesihatan di sekolah adalah agar memastikan ia selari dengan Akta 514, iaitu memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang sedang bekerja terhadap risiko kepada keselamatan atau kesihatan yang berbangkit daripada aktiviti orang-orang yang sedang bekerja.
Secara amnya, terdapat pengurusan keselamatan dan kesihatan di sekolah-sekolah. Terdapat juga sekolah-sekolah yang mempunyai pengurusan keselamatan dan kesihatan yang baik.
Namun, apa yang perlu diselaraskan adalah untuk membangun, melaksana, dan mengekalkan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan di sekolah yang sistematik di semua sekolah di Malaysia," ujarnya.
Aziz juga menyeru pihak berkuasa membangun, melaksana dan mengekalkan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan di sekolah.
Kami dari MiSHA boleh membantu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk merealisasikan impian sekolah adalah tempat yang selamat.
Kerjasama yang lebih rapat dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) adalah antara langkah penting. Usah kita bertangguh. Mari kita bersatu demi keselamatan anak-anak," ujarnya.
Sumber: Utusan
Senarai Pengendali Bas Sekolah Di Semenanjung Malaysia
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) menggalakkan pengusaha bas sekolah yang belum berdaftar, untuk mendapatkan permit yang sah bagi keselamatan murid-murid sekolah yang menjadi penumpang mereka. S.P.A.D. sedang mengendalikan Skim Perlindungan Insurans Murid Sekolah selaras dengan pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada sesi pembentangan Bajet 2013.
Skim ini berkuatkuasa dari 2 Januari 2013 hingga 1 Januari 2014.Skim perlindungan insurans ini melibatkan murid-murid sekolah yang bersekolah di sekolah-sekolah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dan menaiki/menggunakan bas-bas sekolah yang berlesen dengan S.P.A.D. di seluruh Semenanjung dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi Sabah dan Sarawak.
Antara bentuk perlindungan insurans yang diberikan adalah yang melibatkan kematian akibat kemalangan (RM100,000), hilang keupayaan kekal (sehingga RM 100,000), bayaran perubatan sehingga RM3,000, manfaat hospital (RM100 sehari sehingga 30 hari) dan khairat kematian (RM2,500).
Skim perlindungan ini juga meliputi kegunaan bas sekolah untuk aktiviti-aktiviti luar seperti rombongan, lawatan sambil belajar dan sebarang kurikulum tambahan yang disahkan oleh pihak sekolah. Senarai ini akan dikemaskinikan dari masa ke semasa bagi kemudahan ibubapa dan penjaga mengenalpasti samada perkhidmatan pengendali bas sekolah yang digunakan adalah sah atau tidak.
Subscribe to:
Posts (Atom)






