KANGAR, 25 Mei - Sebuah bas membawa 45 penumpang termasuk
pemandu terbabas ke dalam gaung di laluan berbukit di Wang Kelian, pada
Ahad.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Perlis Mohd Fadzil Haroon berkata tiada
kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pada 9.40 pagi itu.
Penumpang bas pelancong dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu terdiri
daripada 33 wanita, enam lelaki dan lima kanak-kanak, katanya kepada
pemberita di tempat kejadian.
Rombongan terdiri daripada peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)
kawasan Kepala Batas, Pulau Pinang yang bertolak pada 7 pagi tadi untuk
membeli-belah di pekan sehari Wang Kelian, di sempadan
Malaysia-Thailand.
Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Sementara itu, seorang mangsa Md Sharif Hashim, 64, dari Kampung Pokok
Tampang, Tasik Gelugor yang duduk di bahagian depan mengucapkan syukur
kerana hanya mendapat kecederaan ringan.
"Semasa bas mendaki bukit, saya melihat pemandunya tidak dapat memusing
stering lalu bas tersebut terus menjunam ke dalam gaung. Kami terpaksa
memecahkan cermin tingkap untuk keluar.
"Sebaik dapat keluar saya lihat beberapa anggota rombongan pengsan dan
ramai yang pening. Saya juga tidak tahu bila bantuan tiba. Sedar-sedar
bantuan perubatan (ambulans) tiba," katanya ketika ditemui di HTF di
sini.
Seorang lagi mangsa, Tariah Awang Kecil, 42, berkata: "kami mengucap banyak-banyak semasa bas menjunam,".
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat, khususnya petugas HTF dan kerajaan Perlis.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Jafperi Othman
dan pegawai Baitulmal Perlis turut berada di HTF untuk menghulurkan
bantuan kepada mangsa.
Sebuah bas turut disediakan untuk menghantar semua mangsa pulang ke
Kepala Batas selain menyediakan makanan untuk mangsa, kata Jafperi.